Projek sosial dua belia Singapura diiktiraf di PBB
23 Feb

Projek sosial dua belia Singapura diiktiraf di PBB .

SINGAPURA: Dua belia meletakkan Singapura di peta dunia apabila projek perusahaan sosial mereka ‘One World Media’ memenangi Cabaran ‘The Resolution Project’ baru-baru ini.
Bukan calang-calang pertandingan, ia berlangsung di Perhimpunan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York City Amerika Syarikat, dan menerima 40 penyertaan dari serata dunia, yang menyumbang saranan bagi mengatasi pelbagai isu sosial yang mendesak di peringkat global.
Idea di sebalik ‘One World Media’ adalah wadah online yang dapat membantu projek-projek perusahaan sosial mengekalkan kestabilan kewangan mereka, menerusi publisiti dan pengumpulan dana awam atau ‘crowdfunding’. Mengenai dorongan bagi idea tersebut, Aslam Shah Iskhandar Shah, 23 tahun menjelaskan.
“Saya rasa belia seperti saya bukan sahaja saya tapi ramai juga belia mempunyai minat yang dalam untuk menolong masyarakat bukan sahaja dari peringkat negara tetapi juga dari peringkat dunia. Sebab itulah saya dan rakan saya, Haziq membuat projek yang dinamakan ‘One World Media’ yang boleh digunakan di seluruh dunia.
Dan saya rasa kerana kami dapat membantu pelbagai projek di seluruh dunia ialah sebab mengapa kami rasa kami memenangi pertandingan ini.”
Dengan sebahagian perbelanjaan yang disokong Mendaki, rakannya Muhammad Haziq Mohd Rashid, 21 tahun, terpaksa ke Amerika Syarikat seorang diri setelah Aslam dirawat di hospital kerana mengalami keracunan makanan hanya seminggu sebelum membentangkan projek mereka di Amerika Syarikat.
Bersaing dengan 5 kumpulan lain di peringkat akhir, Haziq meyakinkan para pengadil bahawa dengan membantu mendedahkan lebih banyak projek sosial menerusi ‘One World Media’, manfaatnya kepada masyarakat juga akan berlipat ganda.
Sebagai pemenang, Haziq dan Aslam menerima dana permulaan sebanyak $4,000 (AS$3,000), serta sokongan sepanjang hayat dalam bentuk sumber bimbingan dan nasihat bertaraf dunia untuk mengembangkan idea mereka.
Menteri Penerangan dan Perhubungan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dalam pertemuan dengan 2 belia itu berkata, projek itu boleh dikembangkan lagi, menerusi inisiatif pemerintah seperti IDA Labs.
“Saya rasa yang penting tahap lanjut bagi mereka untuk bertemu dengan mereka yang ada sumber untuk menjalankan, mewujudkan program enterepreneur, keusahawanan di kalangan masyarakat dan negara kita. Sebagai contoh, di IDA Labs, kita menjalankan projek Incubation, Accelerator dan sebagainya dimana mereka boleh berbincang bagaimana projek atau program mereka boleh terus dijalankan dan untuk kita memperluaskan lagi, memperkuatkan lagi dan yang lebih penting mendapatkan dana untuk menjalankan projek yang lebih besar.”

MENDAKI Club